[Featured Article] Ibu bapa perlu sabar, kuat emosi jaga anak autisme
Published in: Berita Harian
Publication date: 21 May 2026

MEMPUNYAI anak istimewa sememangnya menuntut kesabaran luar biasa serta kekuatan emosi yang tinggi daripada ibu bapa.
Namun, bagi kebanyakan keluarga, kehadiran anak dengan keperluan khas seperti autisme akhirnya menjadi satu perjalanan pembelajaran yang penuh makna.
Bagi Afiq Syazwan Mohd Shahru, 40, pada awalnya dia mengakui sukar menerima kenyataan apabila anak tunggalnya, Ismael yang kini berusia lima tahun, disahkan mengalami gangguan pertumbuhan tumbesaran iaitu autisme.
Berbeza dengan isterinya, Sharina Mohd Najuib, 42, yang lebih terbuka dan peka terhadap perkembangan anak mereka.
Naluri seorang ibu, lebih awal mengesan kelainan apabila Ismael yang berusia sekitar setahun setengah lebih banyak berdiam diri berbanding kanak-kanak lain.
“Isteri saya memang sudah perasan awal lagi dan membawa Ismael untuk pemeriksaan doktor. Pada masa itu, doktor belum dapat mengesahkan apa-apa kerana usianya masih terlalu kecil,” katanya ketika ditemui selepas program Run for Autism 2026 di Taman Botani Perdana, baru-baru ini.
Acara anjuran Early Autism Project (EAP) Malaysia itu menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada kanak-kanak autisme, keluarga serta orang awam bagi meningkatkan kesedaran mengenai autisme dalam masyarakat.
Autisme kategori ringan
Afiq Syazwan yang bekerja sebagai pengurus projek berkata, selepas mengetahui mengenai EAP, mereka segera ke pusat itu. Hasil pemeriksaan lanjut, Ismael akhirnya disahkan menghidap autisme kategori ringan.
“Sejak itu, Ismael mengikuti pelbagai sesi terapi, kelas dan program di EAP. Apa yang mengejutkan kami, pada usia empat tahun dia sudah mula bercakap seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Menurutnya, bukan hanya Ismael yang menerima bimbingan, malah ibu bapa turut diwajibkan mengikuti program khas bagi memahami cara terbaik mengurus dan berkomunikasi dengan anak autisme.
Afiq Syazwan mengakui sebagai bapa, dia mengimpikan anak yang sempurna, apatah lagi setelah menunggu selama tujuh tahun untuk memperoleh Ismael menerusi prosedur persenyawaan in vitro (IVF).
“Namun kini saya sudah menerima sepenuhnya keadaan Ismael. Dia mengajar saya banyak perkara mengenai kehidupan dari sudut yang berbeza,” katanya.
Tambahnya, Ismael kini mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran yang lebih mencabar termasuk sekolah yang membabitkan ramai murid dan suasana bising.
“Untuk acara Run for Autism 2026, ini adalah larian pertamanya dan dia tiada masalah untuk menyertainya. Kami pasti akan terus libatkan dia dalam aktiviti seperti ini,” katanya.
Walaupun cabaran menjaga anak autisme tidak mudah, Afiq bersyukur kerana Ismael tidak terlalu sukar dikendalikan setelah mereka memahami pendekatan yang betul.
Namun, beliau menegaskan, kesabaran dan komunikasi yang berkesan amat penting dalam membesarkan anak istimewa.
Afiq Syazwan turut menasihatkan ibu bapa agar segera mendapatkan pemeriksaan sekiranya mengesan sebarang kelainan pada perkembangan anak.
“Pengesanan awal dan rawatan segera sangat penting untuk memastikan masa depan anak lebih terjamin,” katanya.
Hasil karya anak istimewa dapat sambutan
Sementara itu, pasangan Nik Radim Nik Ahmad Fakhrul Razy, 47, dan Mohammad Fairuz Mohd Radi, 49, tidak pernah menyangka anak kedua mereka, Sinan Rauf, 20, yang disahkan autisme kategori ringan ketika berusia dua tahun, bakal menjadi sumber inspirasi ramai.

Nik Radim berkata, sejak kecil beliau dan suami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk Sinan agar tidak berasa tersisih daripada adik-beradiknya yang lain.
Sinan kemudiannya dihantar menjalani terapi dan kelas bimbingan di EAP, yang menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa.
“Sejak berusia sembilan tahun, kami turut menghantarnya ke kelas tahfiz dan fardu ain. Alhamdulillah, dia mampu mengerjakan lima rukun Islam dengan baik termasuk solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan umrah,” katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, perubahan positif Sinan sangat ketara berbanding zaman kanak-kanaknya.
“Dia adalah anugerah terindah dalam hidup kami, malah kehadirannya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” tambahnya.
Minat Sinan terhadap aktiviti renang dan seni turut membuka laluan kejayaan tersendiri. Lapan tahun lalu, dia mencipta sejarah apabila menjadi kanak-kanak autisme pertama di Malaysia yang berjaya menamatkan cabaran renang sejauh satu kilometer di perairan terbuka Pulau Redang.
Sinan juga pernah menamatkan renangan sejauh tiga kilometer tanpa henti dalam tempoh 90 minit walaupun berdepan ombak setinggi hampir dua meter.
Kini, Sinan lebih cenderung kepada seni lukisan dan telah menghasilkan lebih 300 karya pelbagai tema termasuk bunga, masjid dan landskap.
Lima karyanya turut terpilih untuk koleksi baju-T jenama antarabangsa dari Jepun pada 2021 dan 2023. Bakatnya mula diasah sejak 2019 di bawah bimbingan Seeling Tan.
Menurut Nik Radim, Sinan kelihatan tenang dan serasi dengan dunia seni. Minat ini juga dipercayai berkait dengan latar belakang keluarga dalam bidang seni bina, selain nama Sinan yang diinspirasikan daripada arkitek terkenal Empayar Uthmaniyah, Mimar Sinan.
Kini, karya Sinan turut digunakan untuk produk seperti e-kad raya, kalendar serta rekaan beg tote dan pouch. Menariknya, hampir 80 peratus produk berkenaan berjaya dijual, dengan Sinan sendiri teruja berinteraksi bersama pembeli walaupun berdepan cabaran komunikasi.
“Kami hanya menyimpan sebahagian karya sebagai kenangan, selebihnya dikongsi dengan masyarakat agar bakatnya terus dihargai,” katanya.