Skip links

[Featured Article] Golongan autisme jadi sasaran buli, penipuan dalam talian

Published in: Berita Harian
Publication date: April 28, 2026

Antara peserta Run For Autism, 2026  di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Antara peserta Run For Autism, 2026 di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

INDIVIDU autisme di negara ini berdepan cabaran serius dalam aspek keselamatan digital dan interaksi sosial apabila semakin ramai menjadi sasaran penipuan dalam talian serta buli.

Pengarah Early Autism Project (EAP) Malaysia, Dr Jochebed Isaacs, berkata keadaan seumpama itu berlaku kerana sifat semula jadi individu autisme yang jujur dan mudah mempercayai orang lain.

Katanya, ia sekali gus menjadikan golongan ini antara paling terdedah kepada pemangsa, khususnya di platform media sosial dan aplikasi dalam talian.

“Autisme adalah spektrum, ada yang secara fizikal nampak seperti orang dewasa, tetapi tahap pemikiran mereka mungkin masih seperti kanak-kanak dan menyebabkan mereka sukar memahami niat sebenar orang lain,” katanya ketika ditemui selepas Run for Autism 2026 di Taman Botani Perdana, di sini, baru-baru ini.

Menurut Dr Jochebed, terdapat kes membabitkan remaja autisme berusia 20-an yang ditipu individu tidak dikenali berpura-pura mahu berkawan sebelum meminta wang.

Lebih membimbangkan katanya, ada juga kes mangsa diminta mengimbas kad kredit milik ibu bapa, selain berkaitan ‘catfishing’ di aplikasi janji temu yang turut memberi kesan kepada golongan berkenaan.

Katanya, dalam komuniti EAP sahaja, tiga kes dilaporkan disebabkan mudah percaya apabila seseorang mengatakan ‘I love you’ tanpa memahami risiko di sebaliknya.

“Dalam usaha menangani isu ini, EAP sentiasa menekankan peranan ibu bapa dan penjaga dalam memantau penggunaan teknologi oleh anak-anak.

“Antara langkah disarankan termasuk penggunaan kawalan ibu bapa (parental settings), penilaian tahap kematangan mental sebelum memberi akses kepada aplikasi tertentu, serta pendidikan asas mengenai keselamatan diri.

“Kami turut mengajar konsep ‘circle of friends’ supaya mereka tahu membezakan antara orang rapat dan orang asing selain mengajar mengenai kepentingan berkenaan maklumat peribadi seperti nombor telefon atau butiran bank yang tidak boleh dikongsi sewenang-wenangnya,” katanya.

Dr Jochebed berkata, pada masa sama isu buli terhadap individu autisme di sekolah dan masyarakat juga tidak kurang serius.

Diperguna rakan sebaya

Katanya, ada pelajar yang dipergunakan oleh rakan sebaya untuk melakukan kerja seperti membeli makanan atau membersihkan meja.

“Golongan itu menganggap tindakan itu tanda persahabatan, sedangkan ia sebenarnya satu bentuk eksploitasi. Jadi, penting mengajar mereka, kawan yang sebenar tidak akan mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata, sejak sedekad lalu, EAP giat menjalankan kempen ‘Kindness Starts With Me’ di sekolah bagi mendidik pelajar mengenai kepelbagaian (neurodiversity) dan kepentingan saling menghormati.

Katanya, cabaran turut membabitkan dunia digital apabila individu autisme yang aktif di media sosial menjadi sasaran kecaman.

“Bagi membantu mereka, EAP menyediakan kelas kemahiran sosial yang mengajar cara mengurus komen negatif dan menetapkan batas dalam talian.

“Kami juga mengajar mereka memahami apa yang boleh dikawal dan tidak. Jika terlalu terkesan, mereka boleh tutup ruangan komen atau padam kandungan itu,” jelasnya.

Katanya, stigma dalam kalangan masyarakat masih menjadi penghalang utama, termasuk keengganan ibu bapa melaporkan kes buli atau penipuan kerana bimbang terhadap persepsi negatif.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat memainkan peranan lebih aktif dalam melindungi dan menyokong golongan autisme.

“Kita perlu didik masyarakat untuk membantu, bukan mengambil kesempatan. Kesedaran dan empati, kunci kepada persekitaran lebih selamat dan inklusif,” katanya.

RM20,000 dikumpul melalui Run for Autism 2026

Sementara itu, Early Autism Project Malaysia berjaya mengumpul kira-kira RM20,000 melalui Run for Autism 2026.

Mengulas mengenai Run for Autism 2026 yang diadakan sempena ulang tahun penubuhan EAP ke-20 tahun dan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia, Dr Jochebed berkata, acara itu berjaya menghimpunkan hampir 500 peserta termasuk keluarga dan orang ramai.

Katanya, program itu turut membabitkan pelbagai organisasi dan rakan kerjasama bagi meraikan konsep neurodiversity serta meningkatkan kesedaran mengenai autisme.

Namun, beliau turut mengakui cabaran utama yang masih dihadapi ialah dari segi kemampuan kewangan, khususnya dalam menyediakan terapi intensif kepada lebih ramai individu autisme.

“Tidak semua keluarga mampu, jadi kami berharap untuk melatih lebih banyak pusat autisme yang kekurangan sumber supaya lebih ramai individu mendapat bantuan yang diperlukan,” katanya.

Tambahnya, hasil daripada inisiatif ini akan diberikan kepada bahagian bukan berasaskan keuntungan Early Autism Project, The Hope Project, bagi menyokong pembangunan Aplikasi Autisme Di Rumah Ibu bapa dan Guru yang percuma.

Aplikasi ini bertujuan, menyediakan alat, sumber dan panduan yang mudah diakses untuk menyokong beribu-ribu keluarga.

“Kami berasa terdorong dengan sokongan kukuh komuniti, yang membawa kami selangkah lebih dekat untuk menjadikan sumber autisme lebih mudah diakses oleh keluarga di seluruh Malaysia,” katanya.

Karnival ini menampilkan persembahan inklusif dan gerai mesra autisme oleh individu dan organisasi neurodivergen, termasuk Zimi J, Autism Cafe Project, Pertubuhan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), IDEAS, ARISMA, Stand Pie Me dan lain-lain lagi.

Sejak penubuhannya pada 2006, EAP mengubahkan kehidupan lebih daripada 1,500 individu yang mengalami autisme dari lebih daripada 40 negara dan bekerjasama dengan lebih daripada 70 sekolah dan universiti.