Skip links

Persediaan untuk meraikan Hari Raya dengan anak anda

 

Terlebih dahulu, kami dari EAP Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidifitri kepada anda semua. Sebagai rakyat Malaysia, sama ada kita menyambut Aidilfitri atau tidak, kita mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai perayaan. Walau bagaimanapun, ini mungkin boleh mengundang cabaran kepada kanak-kanak autisme dan keluarga mereka.

Antara perkara atau aktiviti yang biasa dilakukan semasa menyambut Aidilfitri ialah menziarahi ahli keluarga dan sanak saudara. Penziarahan ini biasanya diiringi dengan laungan takbir raya yang boleh didengari dari masjid mahupun dari TV di rumah. Kanak-kanak autisme mungkin akan menghadapi cabaran dalam menangani isu bunyi yang kuat dan berterusan (takbir raya) dan pada masa yang sama berhadapan dengan ahli keluarga yang ramai. Tambahan pula, kanak-kanak ini akan dijangka untuk memenuhi permintaan yang biasa dihadapi semasa Aidilfitri. Antara permintaan ini ialah:

Bersalaman antara saudaraMengucap “Selamat Hari Raya” dan “Maaf Zahir Batin”Menerima duit raya

Ada juga ibubapa yang ingin anak mereka mengalami aktiviti lain semasa Aidilfitri termasuklah:

(Kiri – Kanan) Menghadiri solat sunat Aidilfitri di masjid; Memakai baju baru (baju kurung/baju Melayu bersertakan songkok dan sampin boleh menjadi cabaran kepada kanak-kanak yang tidak suka memakai baju berlengan tangan panjang); Salam & mengucapkan “Selamat Hari Raya”; Menerima duit raya; Menikmati pelbagai juadah tradisional (ini boleh menjadi cabaran kepada kanak-kanak yang makan makanan tertentu sahaja)

Persiapan

Seorang kanak-kanak autisme mungkin belum mempunyai kebolehan untuk membina kemahiran mereka sendiri dari persekitaran mereka secara semula jadi. Oleh itu menghadapi keadaan dan harapan baru boleh menjadi cabaran bagi mereka. Antara cadangan kami adalah:Hari Raya Social Story: Strategi ini boleh digunakan untuk menggambarkan suasana Aidilfitri dan apa yang bakal anak anda lalui. Baca cerita ini setiap hari bersama anak anda (ulang 3-5 kali sehari jika perlu). Kami telah menyediakan contoh Hari Raya Social Story yang boleh dimuat turun secara percuma.Jadual visual (bertulis, bergambar atau dicetak) boleh digunakan untuk menjelaskan rutin aktiviti dan jangkaan kepada anak anda.

Membina tahap toleransi anak anda (penyahpekaan / desensitization)

Kanak-kanak autisme mungkin akan mendapati bahawa aktiviti yang akan dilaluinya pada Hari Raya sedikit mencabar atas beberapa sebab, termasuk  isu-isu deria , ketakutan dan kebimbangan, dan ketidakselesaan mereka dengan orang dan persekitaran yang baru. Oleh itu, mereka memerlukan program toleransi individu untuk membantu membina tahap toleransi mereka terhadap keadaan tertentu.

Kanak-kanak yang menutup telinga dan menangis apabila mendengar laungan takbir di pagi raya mungkin belum boleh menangani isu bunyi yang kuat. Dalam situasi ini, anda boleh membantu anak anda menanganinya. Dengan menggunakan Hari Raya social story, anda boleh berkomunikasi dengan anak anda tentang Hari Raya dan tumpukan fokus anda kepada laungan takbir. Setelah itu, anda boleh melayari YouTube dan perdengarkan laungan takbir Aidilfitri kepada anak anda bagi tujuan latihan. Mulakan dengan tahap suara audio yang rendah dan tunjukkan kepada anak anda apa yang boleh mereka lakukan sepanjang laungan takbir. Sekiranya anak anda berjaya mengikut demonstrasi anda, walaupun sekadar 30 saat, berikan mereka pujian yang disertakan dengan item kegemarannya seperti mainan atau coklat. Ulangi latihan ini 2-3 kali sehari, dengan setiap latihan dilakukan dalam masa yang ringkas (1-2 minit maksimum).

Bagi latihan membina penyahpekaan, anak anda perlu mula pada peringkat yang mudah untuk mereka tangani. Contohnya, sekiranya anak anda mengalami kesukaran untuk tangani takbir raya selama 5 minit, mulakan latihan penyahpekaan anda untuk hanya 5-10saat. Anak anda akan dianggap berjaya pada peringkat ini sekiranya tiada tangisan, jeritan mahupun tidak melarikan diri. Apabila anak anda berjaya menangani 5-10 saat takbir raya, anda boleh meningkatkan masa sedikit demi sedikit dan ulangi latihan yang sama.

Secara umumnya, latihan penyahpekaan sebegini akan mengambil masa dan kadar kejayaannya bergantung kepada tahap keupayaan anak anda dalam pembelajaran, dan bentuk serta pelaksanaan strategi anda.

Nota ringkas di atas hanyalah antara banyak cadangan untuk menangani pelbagai cabaran untuk kanak-kanak autisme yang boleh dijangka semasa meraikan sambutan Aidilfitri. Sekiranya ia tidak berhasil, jangan menyerah, kurangkan tahap kesukaran aktiviti anda dan teruskan latihan anda. Anak anda tentu akan berjaya.

Sekiranya anda mempunyai mempunyai sebarang pertanyaan tentang tip-tip yang boleh membantu anak anda atau mana-mana kanak-kanak autisme, sila hubungi kami melalui talian 03-20940421 atau emel info@autismmalaysia.com .

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin.